Noorkhiriah reda van jenazah miliknya terbakar ‘total lost’… “Sedih sebab kenderaan itu banyak berkhidmat”

PELAKON Noorkhiriah reda menerima takdir ujian apabila sebuah van jenazah miliknya terbakar pada malam Selasa.

Meskipun kenderaan jenis Hyundai Starex itu dilaporkan mengalami kerosakan total, Khiriah atau Noorkhiriah Ahmad Sapie, 46, berkata dia tetap berusaha membaiki van berkenaan supaya boleh terus digunakan untuk pengurusan jenazah.

“Van tersebut sudah dibawa ke bengkel tetapi kata mekanik kondisinya agak teruk. Enjin hangus terbakar, memang total lost dan difahamkan alat pengganti itu juga sukar untuk didapati.

PM13353

Keadaan van jenazah milik Khiriah selepas terbakar.

“Memang ramai yang nak beri sumbangan tetapi saya masih belum mahu terima kerana ingin melihat terlebih dahulu sama ada van tersebut boleh dibaiki atau tidak.

“Kalau boleh baiki insyaAllah dengan duit sumbangan sebelum ini yang kami ada, saya akan baiki van tersebut tetapi jika tidak saya mohon doa mungkin Allah nak beri yang lebih baik,” katanya ketika dihubungi mStar.

Dalam pada itu, Khiriah memberitahu dia menyedari van tersebut terbakar selepas diberitahu oleh jiran dan sehingga kini punca masih belum diketahui

“Pada malam Selasa jiran memaklumkan van jenazah ini terbakar dan api berjaya dipadamkan.

“Dari 2019 hingga 2024, itulah usia lima tahun van tersebut berkhidmat dengan nilai minimum 100 orang jenazah diuruskan dan dihantar ke destinasi terakhir.

“Saya reda dan pasrah dengan ujian ini, mungkin Allah nak gantikan dengan yang lebih baik,” ujarnya.

Enjin hangus terbakar, memang total lost dan difahamkan alat pengganti itu juga sukar untuk didapati.
NOORKHIRIAH
PELAKON

Masih memiliki dua lagi van untuk pengurusan jenazah, Khiriah bagaimanapun berkata kedua-dua kenderaan tersebut tidak boleh dipandu bagi perjalanan jarak jauh.

Malah, van yang terbakar itu adalah kenderaan milik keluarganya sewaktu dia menjalankan perniagaan satu ketika dahulu.

“Kami memang memiliki tiga buah van jenazah tetapi lagi dua van itu tidak boleh dibawa jalan jauh kerana ia hasil infaq dan dibeli daripada kereta terpakai.

PM13352

Khiriah reda dengan ujian yang diterima.

“Van yang terbakar ini adalah kenderaan peribadi milik kami. Saya sayang nak jual van tersebut disebabkan itu saya sedih bila dapat tahu van tersebut terbakar.

“Untuk digunakan sebagai van jenazah sudah memasuki tahun kelima tetapi van tersebut masih mampu dipandu dalam jarak jauh,” katanya.

Untuk rekod, Khiriah menubuhkan Pertubuhan Amal Nur By Khiriah pada 2020 untuk memberikan bantuan berkaitan hal pengurusan jenazah secara percuma.