Jadi popular dengan lagu dawai, Tiba-tiba ramai yang ajak bergambar

KUALA LUMPUR : Popular dengan lagu Dawai, penyanyi kelahiran Indonesia, Fadhilah Intan, 25, mengakui terharu dengan perhatian dan sokongan yang diberikan oleh peminat di negara ini sejak lagu tersebut dilancarkan pada Ogos tahun lalu.

Menurut Fadhilah, lagu yang menjadi runut bunyi bagi filem Air Mata Di Ujung Sajadah itu telah menyuntik impak positif terhadap kerjaya nyanyiannya sehingga mampu meraih populariti yang tidak dijangkakannya meskipun telah bermula lebih awal sebagai penyanyi di tanah kelahirannya sendiri.

“Saya tidak menolak bahawa disebabkan lagu Dawai, saya kini boleh berada di Malaysia. Sebenarnya selepas lagu Dawai menjadi popular, perubahan ketara itu banyak berlaku di Malaysia.

“Kalau di Indonesia, sebelum lagu ini naik (popular) ramai orang minta bergambar dengan pelakon filem Air Mata Di Ujung Sajadah sahaja.

“Saya sebagai penyanyi runut bunyi filem itu tiada yang minta bergambar. Kalau di Malaysia orang selalu sokong saya.

“Walaupun kadang-kadang ada yang terlupa nama, tapi mereka akan panggil saya ‘Dawai’, jadi saya gembira. Alhamdulillah sekarang sudah lebih ramai yang mengenali saya,” katanya.

Fadhilah berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Wali ‘Cari Jodoh’ & ‘Dawai’ In Penang di Gula Cakery, KL East Mall, di sini, semalam.

Impak Lagu Dawai Terhadap Beliau

Selain itu, penyanyi berasal dari Surabaya, Indonesia itu berkata, antara impak lagu Dawai, dia menerima pelbagai jemputan untuk membuat persembahan termasuk menjadi tetamu dalam program televisyen (TV).

“Sebelum muncul dengan lagu Dawai, undangan persembahan hanya dua atau tiga kali sahaja dalam tempoh tiga bulan.

“Ini kerana lagu Dawai boleh sampai sepuluh undangan dalam sebulan. Saya juga boleh masuk ke program televisyen termasuk diundang ke Malaysia,” katanya.

Sebagai langkah terus mengukuhkan nama dalam industri muzik, Fadhilah bakal melancarkan dua single baharu tidak lama lagi.

“Saya sudah ada dua single baharu dan baru sahaja selesai rakaman beberapa hari lalu. Mungkin akan dilancarkan pada Februari ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fadhilah diundang untuk menjayakan Konsert Wali Cari Jodoh & Dawai In Penang anjuran Orange International bersama kumpulan Wali Band, Khai Bahar dan Saixse di Spice Arena, Pulau Pinang pada 3 Februari depan.

“Saya anggap ini kesempatan baik dan indah apabila dapat membuat persembahan di Malaysia.

“Sebelum ini, saya adalah pencipta kandungan di media sosial, tapi sekarang sudah lebih dikenali sebagai penyanyi,” katanya.

baca juga: What! Wow, Ahli kumpulan SMDX mengaku tak kenal Dolla

Sumber utusan