Isu Hangat “Kenapa Perlu Ada ‘Cop’ SIRIM” Ini Jawab Mereka

Kenapa Perlu Ada ‘Cop’ SIRIM? Ini Jawab Mereka

Ekoran hangat isu pelitup muka yang memerlukan pengesahan daripada SIRIM, SIRIM hari ini menjawab persoalan orang ramai akan keperluan itu.

Menerusi satu kenyataan media rasmi mereka SIRIM menegaskan bahawa, kawalan kualiti ke atas pelitup muka bukan perubatan bertujuan memastikan pelitup muka bukan perubatan, sama ada keluaran tempatan atau yang diimport, mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan.

“Pada ketika ini, terdapat banyak pelitup muka bukan perubatan yang dijual di pasaran. Pengguna berhak untuk tahu bahawa produk yang dibeli adalah berkualiti tinggi, selamat dan berfungsi dengan baik.

“Ujian yang kami jalankan akan menentukan sama ada pelitup muka tersebut melindungi pemakai daripada sebarang jangkitan, serta selesa untuk dipakai selain membolehkan pemakai bernafas dengan mudah.

“…Kami membawa dedikasi dan penelitian sama untuk pelitup muka yang bukan sahaja berperanan penting dalam melindungi rakyat daripada Covid-19, tetapi juga akan terus diperlukan bagi tujuan kesihatan dan kebersihan awam,”Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International, Nur Fadhilah Muhammad.

WhatsApp Image 2022 04 12 at 15.25.47 e1649748542249

Sehubungan itu, bermula 1 Januari 2023, pelitup muka bukan perubatan memerlukan pensijilan dan label SIRIM sebelum dijual di Malaysia.

Pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan adalah mandatori memohon pensijilan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International.

SIRIM menyatakan, keputusan itu dibuat susulan daripada kajian mendalam dan sesi dialog oleh KPDNHEP bersama Kementerian Kesihatan, Perbadanan Produktiviti Malaysia, Jabatan Standard Malaysia, Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara.

Perintah ini juga telah dimaklumkan kepada anggota Jawatankuasa Halangan Teknikal kepada Perdagangan (TBT) Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan tidak mendapat bantahan daripada 164 negara anggota WTO.

Syarikat pengeluar pelitup muka yang gagal mematuhi peraturan ini boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 bagi kesalahan kali pertama, yang boleh ditingkatkan sehingga RM500,000 bagi kesalahan-kesalahan berikutnya.

Manakala individu (pengilang/pengimport) boleh didenda sehingga RM100,000 bagi kesalahan kali pertama atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan-kesalahan seterusnya, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kesemua denda itu tidak terpakai kepada pengguna.

Sumber: sirim.my Via Siakap Keli

Leave a Comment