Beroperasi lebih 50 tahun, Campur bebola ikan dan babi, kilang jijik diarah tutup

Kepala Batas: Loya dan menjijikkan. Begitu keadaan sebuah kilang makanan sejuk beku bukan Islam di sini, apabila makanan yang diproses didapati diletakkan di atas lantai selain turut dihurung lalat.

Penemuan itu diperoleh hasil serbuan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) selepas menerima maklumat pada jam 10 pagi semalam.

Pemeriksaan awal mendapati tahap kebersihan kilang agak kotor kerana terdapat lipas selain tahi tikus pula dijumpai di celah-celah peralatan yang digunakan.

Difahamkan, ketika serbuan pekerja kilang itu dipercayai warga asing didapati membasuh kulit babi dengan keadaan lantai agak lecak.Beri

Pegawai Kesihatan BKKM JKNPP Mohd Wazir Khalid berkata, ketika serbuan dilakukan, pekerja di kilang terbabit didapati sedang memproses produk bebola ikan dan bebola babi.

Menurutnya, pihaknya pernah menyerbu kilang mengeluarkan produk untuk bukan Muslim berkenaan namun mereka masih gagal mematuhi arahan diberikan dan menjadi keutamaan pihaknya memeriksa aspek kebersihan supaya tidak berlaku kejadian keracunan makanan.

“Tahun lalu, pihak kita memberi amaran dan nasihat kepada pemilik kilang ini, tetapi ia tidak diendahkan selain tiada penambahbaikan diambil bahkan pekerja juga tidak mengambil suntikan tifoid.

“Apabila disoal pemilik kilang beri alasan kilang sudah nak tutup sebab bankrap berulang-kali, tapi dalam rekod sudah 50 tahun beroperasi dan berulang-ulang melakukan kesalahan sama,” katanya selepas mengadakan pemeriksaan Op Tegar di kilang itu di sini, semalam.

Serbuan membabitkan 43 anggota penguat kuasa dari JKNPP, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Mohd Wazir berkata, pihaknya bimbang berikutan sesetengah produk bebola ikan dan bebola babi dikeluarkan tiada label, sekali gus ia menimbulkan kekeliruan terutama pada pengguna Muslim.

“Kita dapati ada percampuran pada bahan ikan serta daging babi dalam proses menghasilkan bebola dan apa yang menjadi kekeliruan terdapat bungkusan tidak mempunyai label.

“Bagi produk mempunyai label pula ditulis dalam tulisan Cina di mana ia menyalahi undang-undang kerana setiap produk dikeluarkan wajib mempunyai tulisan dalam bahasa Melayu kerana produk makanan seperti ini kebiasaannya turut dijual di pasar basah,” katanya.

Katanya, berikutan itu pihaknya menutup kilang terbabit dua minggu mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 selain mengeluarkan tiga notis di bawah Peraturan 32 akta sama atas kesalahan pengabaian kebersihan diri ketika mengendalikan makanan.

“Pada masa sama, anggota penguat kuasa KPDNHEP mengambil tindakan ke atas pemilik kilang berikutan kesalahan sukat timbang dan menyimpan minyak masak tanpa kebenaran. Selain itu, MBSP mengambil tindakan berikutan pejabat kilang itu beroperasi tanpa lesen,” katanya