‘Bantulah Saya. Saya Betul-Betul Nak Kerja’ – Luahan Din Glamour, Siapa Sangka Keadaan Dia Sekarang

‘Bantulah Saya. Saya Betul-Betul Nak Kerja’ – Luahan Din Glamour, Siapa Sangka Keadaan Dia Sekarang

” Saya berharap sangat dapat diberikan peluang pekerjaan…”

Itu luahan pelakon dan pengarah, Din Glamour berharap dia mendapat peluang pekerjaan dalam bidang pengarahan.

Menurut Din, dia kini berhadapan masalah kewangan dan pernah mengalami sewa rumah tertunggak selama enam bulan pada tahun lalu.

Tiga tahun tiada tawaran kerja

Din atau Sallehuddin Ridzuan, 63, ditemui berkata, dia sudah lebih tiga tahun tiada tawaran kerja, apatah lagi, tahun lalu disahkan menghidapi masalah paru-paru selepas mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.

” Hidup saya dan keluarga sekarang memang susah apabila sudah lama tidak bekerja, ditambah sakit pula pada September tahun lalu dan pendapatan terputus.

” Ditambah, sewa rumah ini pula perlu dibayar sebanyak RM1,200 sebulan.

” Jadi, saya berharap sangat dapat diberikan peluang pekerjaan untuk mengarah sebab keadaan kesihatan saya pun semakin sihat, kira-kira 99 peratus.

” Saya kini boleh berjalan, bercakap dan berfikir dengan baik lagi,” katanya kepada Harian Metro.

Sudah mohon rumah PPR tapi tak berjaya

Ditanya mengenai rumah, Din berkata, dia sudah dua kali membuat permohonan untuk memperoleh rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) menerusi kouta Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) serta melalui Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), namun mengecewakan.

” Saya hantar permohonan rumah PPR sebanyak dua kali kepada Seniman dan dua kali juga kepada FDAM, namun tiada lagi rezeki saya hingga kini.

” Saya juga ada membuat permohonan terus berkaitan rumah PPR kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tapi diberitahu perlu menunggu giliran panjang.

” Saya amat memerlukan rumah dengan sewa bulanan yang mampu dibayar kerana sudah begitu banyak mengharapkan bantuan sumbangan daripada keluarga isteri saya apabila berhadapan masalah kewangan.

” Anak sulung, Yasmin Farhana hanya bekerja swasta dan anak bongsu, Mohd Ashraf Azhari masih belajar di universiti, jadi seorang saja di rumah yang bekerja.

” Tapi, mujur juga saya dapat bantuan daripada Pusat Zakat sebanyak RM600 sebulan.

” Daripada duit itu (bantuan zakat) yang membantu bayar sebahagian sewa rumah.

” Malah, disebabkan ini kediaman kondominium, maka saya juga perlu membayar perkhidmatan utiliti bulanan sebanyak RM200 sebulan,” katanya.

Saya memang betul-betul nak kerja

Menurut Din, dia merayu diberikan peluang pekerjaan dan sudah menyuarakannya kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang berkunjung ke kediamannya di sini, bersempena Program Ziarah Seni Madani, hari ini.

” Saya kata pada menteri, bantulah saya untuk peluang kerja.

” Harapnya jangan sampai di sini saja (ketika ziarah) dan selepas itu dilupakan. Saya memang betul-betul nak kerja,” katanya.

Pada program ziarah itu, Din dan keluarga menerima sumbangan berupa wang tunai dan barangan makanan bagi keperluan meraikan sambutan hari raya Aidilfitri.

Din cukup dikenali sebagai pelakon pada era 1990-an, pernah membintangi filem Sejati, OK (Orang Kampung Otak Kimia) dan banyak lagi.

Dia bertemu jodoh dengan wanita pilihan, Nooorin@Nor Ain Saad, 59, yang juga seorang penulis skrip. Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata, Yasmin Farhana, 30, dan Mohd Ashraf Azhari, 27.

Sumber: hmetro