Ahmad Idham selar pengkritik hentam filem tanpa fakta kukuh “Kalau cakap filem ‘sampah’, cara kau reviu pun sampah!

KELANTANGAN segelintir pengkritik filem memberi ulasan terhadap karya terbitan tempatan kebanyakannya dibuat secara semberono dan hanya tahu menghentam tanpa fakta kukuh.

Pengarah dan pelakon Dr Ahmad Idham berkata, apa lebih menyedihkan pandangan golongan ini seolah-olah paling penting dalam menentukan kejayaan sesebuah filem walaupun kredibiliti mereka sebagai pengkritik diragui.

Ini kerana katanya, kebanyakan lebih suka menjatuhkan dengan menggunakan bahasa kasar dan bukannya mengulas daripada sudut fakta dan data.

“Filem siapa boleh puaskan hati semua orang? Kalau sesuatu filem tak capai standard pengkritik, ia tak semestinya orang lain tidak menyukainya.

 

Idham beri pandangan berdasarkan cerita daripada pembikin filem yang lain.

“Siapa engkau nak beritahu sesebuah filem itu bagus atau tidak? Hanya berdasarkan kau punya pandangan? Tak boleh begitu melainkan mereka beri pandangan dengan fakta dan data.

“Kalau cakap filem ‘sampah’, cara kau reviu pun sampah! Jadi seorang yang profesional sebab pengkritik kena faham ayat mereka melambangkan keperibadian dan intelektual mereka,” katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, pengarah filem Anak Perjanjian Syaitan 2 itu turut menempelak golongan ini yang merasakan mereka individu penting dan ulasan mereka paling tepat.

Malah kata Idham, dia juga banyak menerima keluhan daripada pembikin filem lain mengenai segelintir pengkritik filem yang seolah-olah cuba ‘membunuh’ hasil kerja keras mereka.

“Ada pengkritik filem yang ‘diva’ tapi tak kisahlah janji ikhlas. Ini siap kena ada jemputan kalau nak datang malam gala. Kalau tidak dia akan sasar buat ulasan buruk.

“Ini semua daripada data yang saya dapat. Ramai orang filem mengeluh tapi mereka hanya sinis sahaja. Jadilah sebahagian ekosistem yang positif,” jelasnya.

Tambah Idham, dia memberi pandangan itu kerana pengalaman serta kajian dilakukan ketika melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang pengurusan.

Siapa engkau nak beritahu sesebuah filem itu bagus atau tidak?

DR AHMAD IDHAM

PENGARAH/PELAKON

Jelasnya, situasi yang berlaku dilihat sebagai tidak sihat dan ia boleh membunuh ekosistem industri perfileman jika ia semakin berlarutan.

“Saya bersuara sebab perkara itu tidak sihat untuk industri. Saya tegur berpandukan pengalaman dan kena ingat saya buat kajian PhD tentang pengurusan bidang seni.

“Jadi saya nampak macam mana industri boleh membangun atau jatuh. Itu semua ekosistem yang positif tapi di Malaysia kita seolah-olah membunuh sesama sendiri,” ujarnya.

Idham masih aktif membuat filem.

Pada Februari lalu, Idham pernah membangkitkan isu sama kerana melihat pengkritik filem berbayar perosak kepada industri perfileman tanah air.

Baginya kewujudan mereka yang menipu dalam memberikan pandangan serta ulasan merupakan antara faktor menyumbang kepada kejatuhan industri itu sendiri.

Dalam perkembangan lain, filem arahan Idham iaitu Saka Perawan bakal menemui penonton pada 27 Jun ini di seluruh pawagam di Malaysia.

Filem tersebut membariskan pelakon seperti Azlee, Yassin, Datuk Fauziah Nawi, Datuk Seri Eizlan Yusof, Wilma Muhammad, Man Raja Lawak dan Sophia Albarakbah.

Baca Juga: Jadi popular dengan lagu dawai, Tiba-tiba ramai yang ajak bergambar

Sumber Mstar