Ada yang simpan kiub tomyam, rambut arwah ibu sebagai kenangan

kiub ayam tular
Perkongsian pengguna media sosial yang masih menyimpan kiub tomyam serta beberapa helaian rambut arwah ibu mereka sebagai kenangan.

PETALING JAYA – Selepas tular kisah wang kertas RM50 yang dikatakan duit terakhir pemberian arwah bapa, kini muncul pula beberapa perkongsian unik dalam kalangan pengguna media sosial mengenai barang kenangan insan tersayang mereka.

Menerusi perkongsian pemilik akaun TikTok @urcutemoon, dia mengakui masih menyimpan satu kotak kecil kiub tomyam yang menjadi barang terakhir dibeli arwah ibunya sebelum meninggal dunia pada 2022 akibat kanser rahim.

Meskipun barangan tersebut sudah tamat tempoh pada 16 Jun 2022 lalu, sehingga kini ia tetap disimpan dengan baik agar kenangan terakhir bersama arwah ibunya masih tetap segar dalam ingatan.

“Cerita tentang ‘kiub tomyam’ ini adalah barang masak terakhir yang arwah ibu beli sebelum dia sakit sampai tak larat nak masak, ibu pernah cakap ingat ayat ini, “ibu nak masak tomyam lah, dah lama tak masak”, tapi sayang tak sempat nak merasa tomyam ibu.

“Selepas ibu meninggal, kami kemas-kemas rumah dan buat sedikit perubahan dengan niat nak ceriakan balik suasana. Jujur, bahagian paling berat nak kemas adalah di bahagian dapur tempat seorang malaikat tanpa sayap menyediakan makanan tersedap di dunia.

“Masakan yang ibu buat semuanya biasa-biasa, tapi tak ada siapa boleh lawan. Nasi putih panas dengan ayam masak kicap ibu tetap pemenangnya,” luah pemuda tersebut.

Sementara itu, pemilik akaun TikTok @syrsfea menjadikan helaian rambut terakhir arwah ibunya sebagai barangan wajib yang perlu ada dalam dompetnya.

Katanya, rambut itu dikutip selepas proses memandikan jenazah.

“Kalau aku bawak purse (dompet) ini pergi sekolah, kawan aku selalu juga tanya ini rambut siapa kau simpan?

“Lepastu aku gelak sahaja sebab aku tak nak beritahu orang yang aku masih simpan rambut arwah mak aku. Dulu aku kutip rambut ini lepas siap mandikan jenazah mak aku sejak September 2021,” kongsinya. – KOSMO! ONLINE

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.